TEMAN TEMAN SEFIKRAH

Friday, July 9, 2010

MASIH MENCARI HALATUJU ATAU MAKIN TERHAKIS HARGA DIRI ?



Jika diperhatikan, keadaan Pakatan Rakyat saat ini umpama retak menanti belah, sokong menanti rebah.

Jika ditelitikan coretan coretan nakal di media arus perdana dan difahami minda beberapa pimpinan Pakatan Rakyat, dendam kesumat lama itu seperti tidak berkesudahan.

Beberapa pimpinan Pakatan Rakyat lebih gemar menyerang sesama sendiri berbanding berganding bahu menyerang pihak lawan.

Lebih gemar mendedahkan kelemahan rakan berbanding mendedahkan kebejatan dan kepincangan parti lawan.

Lebih berbangga menyembelih kuda perang milik sendiri berbanding membedil serigala serigala milik musuh yang kelaparan.

BN hanya perlu mencucuk beberapa kerat pimpinan PAS apabila timbul isu isu yang melibatkan kepentingan Melayu dan tanpa disuruh pimpinan PAS ini akan segera bersilat menghamburkan jampi serapah bagi pihak UMNO tanpa beliau sedari.

begitu juga, BN hanya perlu mencucuk menggeletek pinggang beberapa kerat pimpinan DAP apabila timbul isu isu yang melibatkan kepentingan bukan Melayu dan tanpa disuruh pimpinan DAP tadi akan membuka langkah bagi pihak UMNO tanpa beliau sedari.

Kenapa terjadi begitu?

Adakah kerana terlalu lama menjadi pembangkang sehinggakan tiada lagi kata "sokong" di dalam benak fikiran mereka? Atau memang fikiran mereka itu benak?

Adakah kerana belum bersedia untuk menjadi kerajaan sehinggakan begitu sukar mahu mencuci minda "pembangkang" yang ditanam sejak dahulukala?

Adakah kerana masih teruja dengan kemenangan besar yang tidak disangka sangka sehinggakan "merak buih" hidup sihat di dalam diri?

Adakah kerana gagal dalam menghadapi ujian kemenangan yang Allah swt ujikan ke atas keimanan?

Adakah kerana era sekarang sudah bukan lagi era milik pemimpin tertentu dalam Pakatan Rakyat?

Tepuk dada tanya iman.

Pucuk muda perlu diberikan peluang untuk berkembang kerana dedaun yang tua pasti gugur ke bumi. Penulis mengakui bahawa sememangnya terdapat pimpinan Pakatan Rakyat yang evergreen sifatnya seperti Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, Lim Kit Siang dan beberapa orang lagi tetapi ke-evergreen-an mereka ini lebih dicemari ke-evergreedy-an beberapa kerat pemimpin tertentu yang boleh diibaratkan sebagai kemuncup dalam perjuangan.

Pantang ditanya oleh wartawan, maka pasti akan memberikan hujah yang tanpa disedari hujah hujah itu bukan sahaja bersifat syok sendiri teapi juga turut memakan diri. Tidak bijak walaupun ijazah berkajang kajang.

Susah sangatkan untuk Pakatan Rakyat mewujudkan suatu watak jurucakap yang akan bercakap kepada media untuk menjawab setiap isu? Sampai bila Pakatan Rakyat mahu menggunakan penyapu buruk untuk menyabu debu debu cemar yang berterbangan dan hinggap di sana sini?

Fikirkankah. Rakyat menderita berjuang demi mencari sebuah kemenangan. Malangnya, pimpinan yang dipilih gagal untuk mengisi kemenangan yang dicapai. Maniskah kemenangan itu? Tidak. Pahitnya terasa sehingga ke tulang sumsum. Memang pedih jika ditikam musuh. Pedih lagi jika ditikam saudara sendiri.

Muhasabahlah wahai insan......

No comments:

Post a Comment